Tuesday, December 1, 2009

Belajar menjadi seperti ini

Saya belum lagi bergelar guru. Saya masih di sini, menjalani hidup sebagai warga kampus yang sedang belajar menjadi guru. Bukan mudah menjadi guru. Sekurang-kurangnya, inilah yang saya faham setakat ini. Pengalaman dan pengetahuan saya mengenai dunia pendidikan sangat cetek. Kalau boleh dianalogikan dengan manusia, bolehlah dikatakan, pengalaman dan pengetahuan saya tentang dunia ini masih bayi!

Saya tidak merancang untuk menjadi guru. Sangat jauh dari perancangan saya. Boleh dikatakan, tidak tersenarai pun dari senarai cita-cita saya semasa kecil. Cita-cita saya semuanya besar-besar dan hebat-hebat!. Betapa kecilnya profesion ini pada pandangan saya, dan mungkin juga pada pandangan anda. Tapi, hakikatnya, inilah profesion yang paling hebat! Mereka yang terjebak dalam dunia pendidikan ini, sama ada secara sengaja atau tidak, sebenarnya sudah menempah nama menjadi mereka yang paling hebat! Tentu anda pernah terbaca sajak Usman Awang mengenai guru dan isi sajak itu benar! Mari kita hayati sajak ini bersama! Sekadar ingatan betapa pentingnya kita beraksi sebagai guru dalam erti kata yang sebenar. Semoga saya berjaya menjadi guru yang baik!!

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala

Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetlaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di lbu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakill seribu buku
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu,
guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
Usman Awang
1979

Isi sajak ini terkesan di hati saya. Saya harap anda juga begitu.

No comments:

Post a Comment